Pages

Thursday 24 December 2015

Aku Terpaksa Lepaskan

Entri 18

Teks : Fazlianis Ahmad Kamar
Foto : Koleksi Peribadi

24/12/2014 : Hari terakhir saya bekerja


Sumber : Koleksi Peribadi



Sudah genap setahun nampaknya saya melepaskan jawatan sebagai eksekutif aktuari di sebuah syarikat insuran di Kuala Lumpur. Jika hendak diimbau kembali kenangan itu, sememang nya saban hari saya menitiskan air mata kerana terpaksa membuat keputusan yang besar dalam hidup saya. Berada di syarikat itu hampir 6 tahun setengah terlalu banyak suka duka dan kenangan manis dan pahit yang tidak dapat saya lupakan bersama rakan-rakan sekerja yang lain. Di sini lah saya mula berlajar tentang alam pekerjaan yang sebenar, berjumpa dengan pelbagai orang dan disini lah punca rezeki saya. Hasil rezeki saya di sinilah saya kongsikan bersama keluarga saya.

Masih segar di ingatan pada waktu itu saya dipanggil masuk ke bilik oleh majikan saya. Kami berbincang sesuatu yang betul-betul membuatkan saya mengalirkan air mata. Ia berkaitan tentang prestasi kerja saya pada tahun itu. Saya tidak dapat memberi komitmen untuk sentiasa bekerja lebih masa kerana sudah berkahwin dah mempunyai anak. Sejak saya berkahwin, saya tinggal berjauhan dengan suami. 2 bulan selepas itu pula saya disahkan mengandung tetapi mungkin kerana kali pertama mengandung dan tambahan pula tinggal berseorangan saya sering kelihatan penat di pejabat. Tetapi saya cuba sedaya upaya untuk menyiapkan tugasan dengan sempurna. Masih teringat saat saya sudah pun sarat 8,9 bulan ada ketikanya saya perlu menyiapkan kerja di pejabat sehingga malam. Pada saya sudah terlalu lewat ketika itu tambahan pula dengan perut saya yang besar dan saya pula perlu memandu pulang keseorangan pada waktu malam. Saya sering berdoa keselamatan saya supaya tiada perkara buruk yang berlaku.


Alhamdulillah saya sudah selamat melahirkan bayi lelaki saya. Ketika itu saya masih tinggal berjauhan dengan suami. Habis cuti bersalin saya memulakan kerja di pejabat seperti biasa namun saya terpaksa menjaga anak saya keseorangan kerana suami jauh di Johor. Baru 2 minggu memulakan kerja selepas cuti bersalin anak saya dimasukkan hospital kerana jangkitan penyakit di taska. Saya terpaksa menjaga anak saya keseorangan di hospital kerana suami jauh di Johor. Bermula lah episod saya yang sering cuti dari bekerja kerana anak sering tidak sihat. 


Saban hari kerja di pejabat semakin hari semakin bertambah. Kadang-kadang perlu pulang lewat malam. Tinggal lah satu-satu nya anak saya di taska bersama cikgu-cikgu yang sabar menjaga anak saya sehingga lewat malam. Walaupun ketika itu anak saya baru berumur 5 bulan dia seakan mengerti kepayahan ibunya yang terpaksa pulang kerja lewat. Tiap kali saya ambil nya di taska dia pasti tersenyum melihat saya. "Minta maaf sayang, mama pulang lewat lagi". Itulah ayat yang sentiasa terpacul di mulut saya tiap kali saya pulang lewat bekerja sambil saya mengalirkan air mata kerana berasa bersalah terhadap anak saya. Namun setiap 2 minggu atau sebulan anak saya sering jatuh sakit. Mungkin kerana dia masih bayi badan nya masih tidak kuat untuk melawan penyakit berjangkit melalui taska. Namun walaupun dia sakit ada ketikanya saya terpaksa juga menghantar nya ke taska kerana sudah terlalu banyak cuti sakit saya ambil untuk anak sakit.

 
Selepas 2 minggu saya dipanggil oleh majikan saya, saya menghantar surat perletakkan jawatan saya. Setelah berbincang dengan suami, kami redha jika itulah keputusan yang terbaik untuk kami. Pernah saya cuba membuat pertukaran kerja ke Johor tapi saya gagal mendapat tempat di sana kerana tiada kekosongan. Dengan itu saya terpaksa melepaskan jawatan saya, gaji saya, meninggalkan rumah saya dan juga keluarga saya di Kuala Lumpur. Selepas hari terakhir saya berkhidmat di syarikat ini saya terus berpindah ke Johor dan tinggal bersama suami dan anak saya. Alhamdulillah Allah itu Maha Adil. Mungkin saya ditarik kenikmatan saya bekerja dan bergaji tapi Allah gantikan saya kehidupan yang sederhana dan tenang bersama suami dan anak saya di sini. Bermacam-macam saya belajar sejak saya bergelar suri rumah. Sepanjang tahun ini saya banyak membaca buku motivasi supaya dapat memberi inspirasi pada hidup saya. Saya juga mempunyai banyak masa lapang untuk mendekat diri pada Allah swt. Alhamdulillah anak saya membesar dengan sihat hasil jagaan saya sendiri.


Kadang-kadang kita perlu membuat keputusan yang besar dalam hidup kita. Walaupun kadang-kadang keputusan itu pahit tapi kita harus mengharungi nya juga. Kita tidak boleh tamak. Kita tidak akan dapat semua yang kita mahukan, jadi kita harus memilih satu yang terbaik untuk diri kita. Jika ditanya masih kah saya rindu pada tempat kerja lama saya, ya saya sangat rindukan nya. Tapi mungkin suami dan anak saya lebih memerlukan saya di sini. Biarlah ia menjadi salah satu kenangan terindah dalam perjalanan hidup saya.




Sumber : Koleksi Peribadi







No comments:

Post a Comment